Sudah langgar tiba-tiba nak mengamuk pula

BAYAN LEPAS: Seorang wanita hamil trauma apabila dia menjadi mangsa penunggang motosikal yang mengamuk selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Kampung Jawa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.42 pagi itu, cermin hadapan dan belakang kereta mangsa dipecahkan penunggang motosikal terbabit dengan tukul dan topi keledar.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang berusia 27 tahun dan hamil lima bulan dalam perjalanan menghantar adiknya ke tempat kerja di sebuah kilang di kawasan itu.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa memberhentikan kereta kerana mahu membelok ke kanan jalan.

“Bagaimanapun, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kiri kereta dipandunya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian memberitahu penunggang motosikal terbabit mahu membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Ketika itulah penunggang motosikal berkenaan secara tiba-tiba mengamuk dengan memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan tukul besi dan topi keledar.

“Bimbang dengan kejadian itu, mangsa membuat satu laporan polis berhubung kejdian terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, polis sudah menahan penunggang motosikal terbabit yang berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan tiga rekod membabitkan kes dadah.

“Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan kita turut merampas topi keledar, tukul besi, pakaian serta motosikalnya,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.