“Itu adalah pengalaman paling hiba sepanjang saya menjadi anggota bomba sejak 6 tahun lalu,” – Anggota Bomba Ini Menceritakan Detik Sedihnya Semasa Kebakaran Pusat Tahfiz

Like Page Kami Di Facebook!

Jom Share...

SEPERTI kehilangan adik sendiri, kata Rahim Mohd Rashid, seorang daripada enam anggota bomba dan penyelamat yang terawal tiba di lokasi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

“Saya mempunyai adik sebaya mangsa itu. Ketika melihat keadaan mayat mereka, saya berasa terlalu sedih.

“Saya seperti kehilangan adik sendiri ketika itu. Jika tidak bersedih melihat keadaan itu, saya bukan manusia normal,” katanya.

Dia yang ditemui wartawan Harian Metro belum dapat melupakan detik sedih memindahkan mayat mangsa ke dalam plastik hitam.

“Itu adalah pengalaman paling hiba sepanjang saya menjadi anggota bomba sejak enam tahun lalu,” ujarnya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Keramat di Kuala Lumpur.

Dia bersama rakan setugas membawa pengusung ke tingkat tiga bangunan untuk memindahkan mayat mangsa sebaik pasukan forensik selesai menjalankan tugas.

“Saya sempat memberi sedekah doa kepada semua nyawa yang terkorban ketika itu dan meneruskan kerja dalam keadaan sedih.

“Saya tidak sangka sama sekali akan berdepan dengan keadaan yang begitu tragik dan pilu,” katanya.

Menurutnya, pada hari berkenaan, dia menyelamatkan dua kanak-kanak dan seorang dewasa selain membawa turun lima mayat mangsa.

“Saya memang bersyukur kerana dapat menyelamatkan mereka yang masih hidup namun pada masa yang sama, terlalu sedih mengenangkan mereka yang terkorban.

“Saya minta maaf kepada ahli keluarga mereka kerana gagal menyelamatkan mereka,” katanya.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa keluar mayat mangsa kebakaran pada 14 September lalu. FOTO Mohd Yusni Ariffin

 

Sementara itu, rakan setugasnya, Mohd Osman Aziz, 25, turut terbayang adiknya yang juga pelajar tahfiz ketika menjalankan tugasnya di lokasi kejadian.

“Saya juga mempunyai adik yang belajar di tahfiz di Terengganu dan membayangkan betapa pilu kehilangan orang tersayang,” katanya.

Beliau juga masih terbayang-bayang jeritan meminta tolong daripada mangsa.

“‘Api, api, panas… tolong.’ Itu antara jeritan yang saya dengar sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Saya turut melihat mangsa terselamat mengerang kesakitan dengan kesan lecur di luar pagar sebelum saya bersama tiga anggota bomba bersama orang awam mengangkat tangga di tepi tingkap,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia melihat seorang pelajar tahfiz mendukung kanak-kanak berusia dua tahun sambil bergayut pada alat pendingin hawa.

“Pelajar itu seolah-olah mahu terjun akibat kepanasan sebelum saya memintanya bersabar dan bergegas mengambil tangga.

“Sebaik tangga dipasang, saya menyelamatkan kanak-kanak itu dengan menuruni tangga,” katanya yang sudah berkhidmat dengan pasukan bomba selama empat tahun.

Menurutnya, dia kemudian menaiki semula tangga dan menemui tiga lagi kanak-kanak perempuan yang kelihatan ketakutan sebelum membawa mereka turun.

“Ketika itu api cukup marak. Saya melihat seorang ustaz menendang pintu untuk memasuki bangunan terbakar bagaimanapun gagal.

“Sebaik semua pasukan bomba tiba di lokasi, api berjaya dipadamkan sebelum saya ke tingkat tiga untuk melihat mangsa,” katanya.

Menurutnya, dia yang melihat keadaan mayat mangsa tidak dapat menahan kesedihan.

“Saya terus melaungkan ‘Allahuakbar’ sekuat hati, tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan saya yang begitu sayu dan pilu kerana tidak dapat menyelamatkan mereka.

“Terus terang saya katakan, terbit kekesalan dalam hati kerana gagal menyelamatkan mereka, minta maaf kepada keluarga mangsa,” katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Dalam kejadian Khamis lalu, 21 pelajar dan dua guru terkorban manakala tujuh cedera.

Susulan kejadian, tujuh remaja disyaki terbabit dalam perbuatan khianat membakar pusat tahfiz tersebut ditahan reman.

VIDEO:

sumber: hmetro

PETALING JAYA: Sudah lima hari tragedi mengorbankan anak-anak tahfiz berlalu, air mata aktres Mas Anizan tidak berhenti mengalir mengenangkan kehilangan tiga beradik, anak saudaranya itu.
Kerinduan Mas Anizan terhadap Muhd Syafiq Haikal, 13, Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Harris Ikhwan, 10, tidak dapat dibendung kerana dia sering terkenang saat-saat manis bersama tiga anak-anak itu yang tinggal bersamanya.

“Ya Allah, rindunya mummy dekat Haikal, Hafiz dan Harris. Walaupun dah berapa hari berlalu, air mata ni tak henti-henti mengalir,” kata Mas Anizan.

Pelakon yang popular pada era 1990-an ini meluahkan kata-kata itu di laman sosial Instagram miliknya.

Mas Anizan, 44, turut memuatkan klip video gambar anak saudaranya itu berlatarbelakangkan lagu sedih yang mengundang simpati orang ramai.

Mas Anizan (foto kecil) tidak dapat menahan kerinduan selepas hilang tiga anak saudaranya yang terkorban dalam kebakaran akibat perbuatan khianat pusat tahfiz di Keramat.

Katanya, kehilangan tiga beradik itu  meninggalkan kesan mendalam kerana dia tidak lagi mendengar gelak tawa, gurau senda serta permintaan mereka untuk menikmati makanan kegemaran masing-masing setiap kali pulang ke rumah ketika cuti.
“Kepergian kalian bertiga meninggalkan kesan yang tak dapat diluahkan dengan kata-kata. Tapi mummy redha dengan qada dan qadar Allah. Mummy tahu kalian lebih bahagia dan tenang di sana.

“Berehatlah sayangku Hakim, Hafiz dan Harris. Doa mummy sentiasa bersama kalian. Mummy love you soo much,” tulis Mas.

Tiga beradik daripada enam adik-beradik itu tinggal bersama Mas Anizan selepas bapa kanak-kanak itu meninggal dunia pada 2005.

Selain tiga anak saudaranya itu, Mas Anizan mampunyai tiga anak lain masing-masing dua daripada perkahwinannya dengan Allahyarham Datuk Ali Bapoo iaitu Mas Aliza, 22, dan  Mohd Masli Danial, 17, serta Putri Ariana Merissa, 3, hasil perkahwinan keduanya.

Dalam kejadian 14 September lalu, seramai 23 orang pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat, maut selepas terperangkap di pusat pengajian berkenaan selepas ia terbakar.

Kebakaran itu dipercayai perbuatan khianat selepas tujuh remaja ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

sumber: mstar


Lagi Heboh

Loading...