Ikan Siakap Masak 3 Rasa

Oleh: Azie Kitchen

Untuk Ikan:

1 ekor ikan siakap – kelar dan lumur garam kunyit

Tepung jagung – dilumur pada ikan

Minyak – untuk menggoreng ikan

 

Bahan Menumis:

4 ulas bawang putih – ketuk

6 tangkai cili padi – dipotong kecil

1 inci halia – dihiris halus

1 batang serai – ketuk

Bahan Sos:

2 sudu besar sos tomato

2 sudu besar sos cili

1 sudu besar sos tiram

1 sudu besar sos ikan – tak letak

Sedikit minyak bijan – opsyenal

Bahan bahan Lain:

1 biji bawang besar – dipotong dadu

1 biji tomato – dipotong dadu

1/2 biji cili benggala – dipotong dadu – opsyenal

Kiub nenas dalam tin – opsyenal

3-4 helai daun limau purut – buang tulang

Daun sup/daun bawang – untuk hiasan

Minyak untuk menumis

Garam secukup rasa

Gula secukup rasa

Ajino-moto secukup rasa

Cara cara:

Ikan dibersih dan ditoskan. Lumur dengan garam kunyit. Biarkan seketika. Bila hampir hendak digoreng, lumur dengan tepung jagung termasuk bahagian dalam perut ikan.

Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas, barulah dimasukkan ikan tadi. Goreng dengan minyak terendam ikan tersebut. Setelah ikan garing, angkat dan ketepikan. Saya tidak goreng terendam kerana nak jimat minyak.

Panaskan minyak dalam kuali yang lain. Tumiskan bahan menumis iaitu bawang putih, halia, cili padi dan serai. Setelah bawang putih kekuningan, masukkan bahan sos iaitu sos cili, sos tomato, sos tiram, sos ikan dan 3 sudu jus nanas di dalam tin serta daun limau purut. Kacau sebentar.

Akhir sekali, dimasukkan bahan bahan lain iaitu bawang besar, tomato yang dipotong dadu, nenas dan cili benggala. Masukkan sedikit air. Sesuaikan rasa garam, gula dan ajinomoto secukup rasa.

Biarkan kuah mereneh seketika. Setelah kuah agak pekat berkilat, angkat dan curahkan di atas ikan yang telah digoreng tadi. Taburkan daun sup/daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.