Akibat sengaja jatuhkan budak sedang berlari, wanita hamil 7 bulan dikecam

Seorang wanita hamil tergamak menjatuhkan kanak-kanak menyebabkan kepalanya jatuh ke lantai hanya kerana berasa terganggu dengan kanak-kanak terbabit berlari dalam restoran, lapor Next Shark.

Dalam kejadian itu berlaku pada 19 April di sebuah restoran di Baoji, wilayah Shanxi, China, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak terbabit berlari ke pintu restoran dan terjatuh selepas terlanggar kaki wanita itu.

Wanita itu dilihat secara sengaja meregangkan kakinya sehingga mangsa melanggar kakinya dan jatuh.

Difahamkan bahawa mangsa ingin mendapatkan chopsticks untuk ibu bapanya, tetapi berlaku kejadian yang tidak diingini.

Ibunya yang telah melihat kejadian itu segera mendapatkan anaknya dan bertanya bagaimana dia boleh jatuh.

Tidak lama selepas itu, wanita hamil tujuh bulan itu berkata dia terganggu dengan mangsa yang berlari di dalam restoran dan beredar dari premis tersebut sebelum pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.

budak jatuh 1

budak jatuh 2

budak jatuh 3

Video rakaman CCTV kemudiannya viral di media sosial dan menjadi topik perbualan yang hangat.

Ramai netizen yang membantah tindakan wanita itu dan berkata dia tidak layak menjadi seorang ibu.

Tidak kurang juga, ada sesetengah netizen yang menyalahkan ibu mangsa di mana dia patut mengawasi anaknya sendiri supaya tidak menyebabkan ketidakselesaan pelanggan lain.

Xinhua melaporkan bahawa wanita tersebut kemudiannya menyerahkan diri ke balai polis dan meminta maaf kepada ibu bapa mangsa serta mahu bertanggungjawab terhadap tindakannya.

Difahamkan bahawa mangsa menghidap penyakit kardiovaskular hanya mengalami goncangan ringan di kepala.

Tetapi tiada kecederaan serius yang dialami dari kejadian itu.

Hasilnya, wanita itu didenda sebanyak 1,000 yuan untuk perbuatannya yang tidak bertanggungjawab.

Sekiranya wanita itu tidak mengandung, dia boleh ditahan selama 10 hari.